Isnin, April 27, 2009

KISAH TELADAN: GILA KERANA MUNGKIR JANJI



10 SYARAT TAUBAT Kitab Qut al-Qulub, Abu Talib Makki


  1. Taubat itu maknanya sifat atau keadaan hati kita benci kepada keburukanatau lari dari kejahatan dan gemar kepada kebaikan atau menuju kebajikan ataupun hati kita itu kembali kepada perintah Allah dan menjauhi laranganNya.

    Firman Allah SWT ;

    “Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari syirik, kemudian taubatlah (kembalilah) kepadaNya dengan taat dan tauhid”.
    (Surah Hud : Ayat 61)

    Menurut Syeikh Abu Talib Makki, taubat nasuha ada 10 syarat, seperti berikut di bawah ini :

    1. Orang yang bertaubat itu tidak akan melakukan maksiat lagi.

    2. Sekiranya ia terlanjur melakukan maksiat juga, maka ia tidak berlarut-larut di dalam maksiat itu, tetapi ia segera bertaubat.

    3. Ia mestilah berasa kembali kepada jalan Allah dan keredhaanNya.

    4. Ia mestilah ada rasa kesal terhadap perbuatan maksiat yang telah dilakukan.

    5. Bersungguh-sungguh mahu istiqamah di dalam ketaatan kepada Allah hingga mati.

    6. Ia mestilah ada rasa takut yang sebenar- benarnya terhadap azab Allah.

    7. Ia mestilah ada keyakinan bahawa Allah sentiasa bersedia memberikan rahmat dan keampunan. Keyakinan tersebut dikenali juga sebagai sifat roja’ atau mengharap rahmat dari Allah.

    8. Ia mestilah mengakui bahawa dirinya itu adalah orang yang benar-benar berdosa.

    9. Ia mestilah mengiktikadkan bahawa 
     Allah telah mentakdirkan dirinya itu menjadi orang yang melakukan maksiat dan Allah juga yang menentukan dan yang menghendaki ianya menjadi orang yang taatkan Allah.

    10. Ia mestilah melakukan amal-amal saleh setelah bertaubat itu supaya ia dapat menyempurnakan apa juga kekurangan yang telah berlaku.

    Rujukan Abu Talib Makki, Kitab Qut al-Qulub, Juz. 1, ms. 180.

Sabtu, April 18, 2009

MAJLIS TAWAJJUH & MAJLIS ILMU

MARI BERSAMA DALAM MAJLIS ILMU BICARA SUFI @ Dewan BUDI dan MAJLIS TAWAJJUH/ZIKIR (Pengisian majlis tersebut ialah diadakan majlis Zikir, Tahlil, Solat Hajat dan Solat Taubat) untuk setiap ahli BUDI diadakan setiap Jumaat bermula pukul 7:00 malam hingga 11:30 malam diadakan setiap minggu melainkan Minggu Pertama Bermula November, 2009.

Kepada Ahli dan sesiapa yang berminat/berhajat mengikuti majlis ilmu dan majlis zikir boleh hadir ke Dewan BUDI pukul 7:00 malam untuk solat Maghrib berjemaah dan seterusnya mengikut program yang diaturkan.

Bertempat : Dewan BUDI

Di Alamat : Kampung Melayu Sri Kundang, Tasik Biru Kuang, 48050 Rawang, Selangor Darul Ehsan.

Selasa, April 14, 2009

BUAH NONA

BUAH NONA

Famili : Annonaceae

Nama Latin : Annona reticulata

Nama Indonesia : Mulwo, Binoa, Manowa

Kawasan / asal : Secara semulajadi ia terdapat di Amerika Tengah seperti Indies Barat. Ia dibawa ke Timur pada waktu yang sangat awal, kemungkinan di bawa dari Spaniards dan kini ia telah membiak dan di jadikan tananman di Timur seperti di negara Indonesia dan Malaysia.

Ciri- ciri fizikal : Ia mempunyai batang yang berpokok dimana tingginya sekitar 3-7 meter. Semua bahagian pokoknya mempunyai bau yang kuat apabila ia terluka atau lebam. Daunnya berbentuk bujur dan agak lembik di hujung tepinya manakala bunga adalah dalam "short inflorescences". Buahnya berbentuk seperti sfera, berdiameter 5-12 cm. Isinya bewarna putih kotor. Ia mempunyai biji yang bewarna coklat kehitaman. Pokok Nona mudah dikenali dimana buahnya hampir menyerupai buah Srikaya. Buahnya bewarna coklat kemerahan. Di beberapa tempat ia dikenali sebagai Srikaya biru hijau, berbintil-bintil dan buah Sirsak berduri; dengan rasa yang sangat sedap dan spesifik.

Nilai Ubatannya : kulitnya boleh digunakan sebagai astrigen (ubat yang boleh mengecutkan kulit) yang digunakan untuk menyembuhkan penyakit diarrhoea (cirit- birit) dan dysentry (cirit-birit berdarah). Caranya ialah dengan mengambil sedikit kulit bersaiz lebih kurang dua jari dan dimasak dengan 400 cc air sehinggalah air itu tinggal hanya 50% dan di minum sebanyak tiga kali. Bagi kegunaan luaran pula, kulitnya boleh menjadi penawar demam yang tiba-tiba serta untuk melawaskan pundi kencing. Daunnya adalah ubat untuk merawat bisol. Bijinya juga mempunyai nilai ubatan dimana ekstrak bijinya juga boleh digunakan untuk merawat cirit-birit. kulitnya mempunyai tannin (asid yang diperolehi daripada beberapa jenis pokok dan digunakan untuk menyamak kulit) dan Alkaloid Anonaine (juga boleh didapati pada kulit Srikaya). Akarnya adalah beracun dan mungkin boleh membawa maut kepada manusia. Daunnya mengandungi getah toksik yang boleh bertindak seperti dadah. Kulitnya mengandungi dua alkaloid iaitu Murinine dan Muricine, manakala bijinya juga mengandungi alkaloid dan daunnya mempunyai minyak perlu, Resin potasium klorida, tannin dan sedikit alkaloid.
(Disalin daripada http://pkukmweb.ukm.my/~ahmad/tugasan/s3_99/ibrahima.htm)
Annona Squamosa

Famili : Annonaceae

Nama Tempatan : Nona/Srikaya

Kegunaan/Kaedah Penggunaan

Daun pokok nona ini boleh direbus dan diminum bagi mengatasi masalah mual-mual, sengal-sengal tulang, batuk dan selsema. Daunnnya boleh ditumbuk dan digunakan bagi mencuci rambut untuk mengatasi masalah sakit kulit terutamanya bisul.

Kulit buah tumbuhan ini boleh direbus dan diminum bagi menyembuhkan demam dan cirit birit . Manakala air rebusan akarnya boleh digunakan sebagai julap dan juga mengatasi masalah sakit tulang belakang dan sakit pinggang.

Biji buahnya boleh ditumbuk dan disapu bagi mengatasi masalah sakit sendi dan juga membunuh kutu pada rambut. Bijinya mempunyai kesan toksik dan tidak boleh dimakan.
(disalin daripada http://pkukmweb.ukm.my/~ahmad/tugasan/s2_99/a58700.htm)


Isnin, April 13, 2009

IBADAH HAJI 1431H Bersama SHAIKH DR HJ JAHID BIN HJ SIDEK AL-KHALIDI



PROGRAM IBADAH HAJI 1431H/2010 
Pengumuman Penting kepada semua Jemaah muslimin dan muslimat yang berhajat untuk menunaikan Ibadah Haji 2010 bersama-sama Tuan Guru Dr Hj Jahid bin Hj Sidek al-Khalidi.
Sila hantarkan keperluan berikut dengan menghantar maklumat lengkap bagi kegunaan Pengurus Program Haji 2010 iaitu YBhg Ustaz Suhaimi bin Daud no. HP 019-9067848 alamat email dakwah.budi@gmail.com : 

(1) Nama Penuh

(2) No. Kad Pengenalan

(3) No. Akaun Tabung Haji

(4) No. Pendaftaran Haji

(5) Alamat Rumah

(6) No. Telefon/HP dan

(7) alamat email

Anggaran kos yang diberikan oleh Syarikat yang akan menguruskan urusan berjumlah lebih kurang RM16,000.00. Segala pertanyaan boleh hubungi terus Pengurus di atas. Maklumkan penghantaran email kepada Ustaz Mohd Abadi bin Amir 019-3888083.
Untuk makluman semua ahli, ketika ini ahli yang berdaftar untuk tujuan di atas seramai 40 orang.

Selasa, April 07, 2009

Kesucian Dan Kebenaran Tasawwuf


Kesucian Dan Kebenaran Tasawwuf

Oleh Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmi

Saya diminta bercakap berkenaan tasawwuf dan tariqah tasawwuf dalam persidangan ini. Bagaimana saya hendak mencakapkan tasawwuf kerana ia adalah jenis jiwa ruh kebatinan? Bagaimana hendak diceramahkan kerana ia cahaya dan keimanan? Kita sekarang sedang hidup dalam dunia yang berserabut dengan gejala-gejala kebendaan fikiran dan usaha-usaha yang berlumba-lumba untuk hawa nafsu syahwat dan keinginan syaitan, hati yang dinoda tamak haloba angkara murka kejahilan dan kekeliruan melainkan orang yang arif bijaksana dan beriman.

Untuk tahu dan mengenal tasawwuf itu, cuba buang dan jauhkan diri (akan) sebarang larangan Allah Ta‘ala. Hampir dan kerjakanlah apa-apa yang disuruh Allah Ta‘ala. Bersihkan dan heningkan fikiran dan hati dengan nur dan petunjuk Tuhan. Jauhkanlah dari fitnah dunia dan bisikan syaitan. Amalkan sifat-sifat mahmudah (terpuji). Buangkan sifat-sifat mazmumah (tercela). Bangunkanlah insan kamil. Tinggalkanlah dunia yang fana ini dan berhadaplah kepada negeri akhirat yang kekal. Hadaplah dunia ini dengan penuh rasa kemanusiaan dan persaudaraan sejagat. Isilah budi pekerti dengan timbang rasa keadilan dan ihsan. Hiasilah diri dengan adab akhlaq yang bersih baik; taat mengerjakan ibadah. Kasih kepada Allah Ta‘ala dan mahluknya, asyik bercinta dengan kecantikan kesempurnaan Tuhan Yang Maha Tinggi Maha Besar, berkecimpung di lautan rahmat dan keridaan Tuhan. Peranglah nafsu dan syaitan. Kenalah diri yang sebenarnya. Dengan demikian, nampaklah kesucian dan kebenaran tasawwuf itu.


Tasawwuf Itu Nyawa Islam

Tasawwuf itu adalah puncak yang tertinggi sekali dalam alam fikiran dan cita rasa hati Islam. Ini ternyata dalam tawarikh perkembangan keemasan Islam. Tasawwuf menghembuskan jiwa yang dinamik, sanggup berhabis-habisan berkorban-memelihara dan mempertahankan aqidah dan prinsip-prinsip Islam beriman yang sempurna; sempurna dalam urusan hidup. Kenal kepada rahsia dan hikmah hidup. Menyeru dan memimpin kepada peri kemanusiaan yang tinggi suci dan kepada ketuhanan dengan penuh jujur dan amanah. Bersungguh-sungguh bertolong-menolong atas perkara taat dan taqwa. Pesan-memesan, ingat-beringat atas perkara haq dan sabar, berlumba-lumba berbuat kebajikan. Tasawwuf itu adalah ilmu batin sebagai jiwa dan nyawa manakala ilmu zahir itu sebagai jasadnya.

Al-Quran Dan Tasawwuf

Daripada ayat-ayat al-Quran diambil sandaran dan pegangan tasawwuf dan tariqah-tariqah; berpaling dari dunia dan berhadap kepada yang menjadikan hidup dan dunia alam buana ini, berhadap kepada Tuhan dengan penuh harapan kasih dan fana fillah. Di antara ayat-ayat itu:

“Ketahuilah oleh kamu! Sesungguhnya di dunia ini adalah sukan main-mainan, (hiburan), perhiasan, bermegah-megah antara kamu, berlumba-lumba banyak harta dan anak-anak; umpama yang demikian itu ialah seperti air hujan yang menakjubkan orang-orang kafir dengan memandang kesuburan siraman air itu kepada tumbuh-tumbuhannya, kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering, lalu pula berubah kuning layu, kemudian beralih menjadi reput hancur. Di kampung akhirat itu nanti azab seksa yang keras kepada orang-orang kafir dan keampunan serta keridaan daripada Allah untuk orang-orang mukmin. Dan tidaklah sekali-kali hidup dunia ini melainkan hidup kesukaan saduran (luntur jua).” (al-Hadid :20)

Seluruh ayat al-Quran itu tujuannya mengharapkan dan memimpin diri manusia itu kepada ruh yang suci, menghadap kembali kepada Tuhan yang menjadikan sekalian makhluk ini, balik ke negeri akhirat yang kekal abadi. Al-Quran adalah tegas sekali mengatakan:

“Aku tidaklah menjadikan jin dan manusia melainkan ialah untuk menyembah kepada Aku.” (al-Dhariyat: 56)

Semua dalam alam wujud ini menurut fitrahnya ingat dan tunduk bertasbih kepada Allah Ta‘ala:

“Bertasbih bagi-Nya oleh langit-langit dan bumi dan mana-mana makhluk pada kedua-duanya.”

Mulai dari zaman Rasulullah s.a.w. lagi, ketika al-Quran masih bersambung-sambung turun, ada golongan manusia yang banyak sekali beribadat dan banyak membaca dan menghafaz al-Quran itu. Golongan ini terkenal Ahli al-Suffah, yang menjadi pangkal menimbulkan ahli tasawwuf itu. Inilah sedikit pandangan daripada al-Quran. Mazhab ahli tasawwuf itu:

Kasih mereka kepada Allah, kasih Allah kepada insan; kasih insan kepada Allah; kasihlah yang menegakkan hidup. Kerana itulah kasihkan Allah itulah pujaan hidup ahli-ahli tasawwuf itu mulai dari jasmaninya lantas keruhanian sentiasa kasihkan Allah. Lidahnya sentiasa berzikir dan bertasbih. Tiap nafas turun naiknya, keluar masuknya dengan berzikir. Hati budinya terus dengan zikir yang sentiasa. 

Jiwa mereka taat beribadat dan berjihad melawan nafsu, melawan kezaliman, berjuang dalam lapangan umum, meninggikan kalimah Allah hingga jadi agama Islam itu pegangan hidup dan jalan hidupnya semata-mata kerana Allah Ta‘ala.

Rasulullah s.a.w. Dengan Hidup Tasawwuf

Mula hidupnya dengan mempelajari rahsia dan hikmah alam dengan bertapa di Gua Hira’ sehingga menjadi rasul. Rasulullah s.a.w. sangat kuat bertahajjud, istighfar, zikir, sembahyang hingga bengkak-bengkak kakinya kerana lama berdiri qiyam. Rasulullah s.a.w. menangis kerana takutkan Tuhannya. Rasulullah s.a.w. menunjukkan kepada Abu Hurairah rupa dunia yang kotor ini dengan contoh satu lopak yang bertimbun-timbun bangkai manusia dan binatang dan barang-barang buruk buangan. Semuanya ini terang dalam hadith yang sahih. 

Rasulullah s.a.w. mengibaratkan dunia ini tidak pun bernilai timbangannya seberat sayap nyamuk. Dalam suatu Hadith Qudsi: “Aku adalah di sisi orang-orang yang pecah remuk redam hatinya.” Rasulullah s.a.w. tidur di atas tikar yang kasar. Badannya berlarik bekas tikar itu di kedua lambungnya hingga menangis Sayyidina Umar dengan penderitaan nabi itu.

Banyak sungguh hadith-hadith yang dipegang oleh ahli tasawwuf itu. Pada orang tasawwuf, siapa yang hendak dunia – seperti sabda Rasulullah itu – silalah dan siapa yang hendakkan akhirat dan keridaan Tuhannya jalan atau tariqahnya adalah terang dan nyata.

Keperluan Tasawwuf Di Zaman Ini

Apakah gunanya tasawwuf di zaman pembangunan Negara kita sekarang ini? Tidakkah akan mematahkan semangat usaha dan kerja pembangunan?!

Tasawwuf yang betul benar tidak menjadi sebarang halangan kepada pembangunan malah memberikan semangat yang bersih dan selamat kerana adalah berdasarkan peri kemanusiaan yang sempurna. Kekayaan hendaklah dilakukan dan digunakan semata-mata untuk peri kemanusiaan dan kebajikan. Untuk seorang tasawwuf cukup sebagaimana yang digambarkan pada sifat nabi, sahabat-sahabat dan ulama-ulama.

Pembangunan kebendaan dengan tidak disertai pembangunan jiwa dan ruh samalah seperti membuat lembaga manusia yang tak bernyawa dan membangunkan ruh sahaja samalah seperti ruh yang tidak berjasad.

Syara‘ dan haqiqat perlu sama maju. Masing-masing dalam pembangunan negara hendaklah mengambil lapang masing-masing. Susu adalah minuman yang lazat dan baik jika ada orang yang tak boleh minum teh tak suka minum kopi dan yang suka kopi tidak sukia teh; ambillah minuman masing-masing.

(Dipetik dari buku “Manifesto Intisari dan Rahsia dalam Pemikiran dan Pengalaman Islami” susunan Mohd Zaidi Abdullah. Beliau juga merupakan penyumbang artikel dan penyunting buku ini.)

*Tasawwuf itulah adalah ruh dalam pengamalan Islami. Tanpa ruh, maka tidaklah hidup jasad itu. Peranan tasawwuf sungguh besar dalam kehidupan masa kini. Apa tidaknya, kerana tasawwuf itu sendiri asasnya berdiri di atas prinsip tauhid dan mengesakan Allah. Kemudian ianya dihiasi dengan akhlaq yang mulia dan baik. Maka, melalui tasawwuf peradaban kaum Muslimin terbina. Apa tidaknya, jika masyarakat mempunyai akhlaq yang buruk, hidup mengikut nafsu syahwat dan kebinatangan, maka akan musnahlah sesuatu peradaban itu. Seperti yang disebut Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmi di atas, melalui tasawwuf terbinalah episod baru peradaban kaum muslimin yang gemilang. Peradaban yang gemilang terbentuk apabila rakyatnya terdiri daripada mereka yang berakhlaq mulia, mata hatinya tajam, hatinya penuh dengan perasaan kasih sayang dan saling menghormati. Hati mereka sentiasa mengingati Allah. Apakah yang akan terjadi kepada sesebuah institusi korporat sekiranya para pekerjanya mempunyai akhlaq yang cemar? Masing-masing ingin menjatuhkan di antara satu sama lain. Majikan bersifat zalim dan kasar kepada pekerjanya dan para pekerja tidak amanah dalam menjalankan tugas? Sudah pasti institusi korporat tersebut akan menuju kehancuran. Begitulah juga halnya dalam sesebuah peradaban. Mungkin ada antara yang tidak setuju dengan istilah tasawwuf, tetapi tasawwuf itu tidak lain daripada maksud hadith Rasulullah s.a.w. iaitu: “Kamu beribadat seolah-olah kamu melihat Allah, dan sekiranya kamu tidak melihatNya, sesungguhnya dia melihat kamu.” Itulah dia tujuan tasawwuf, untuk mencapai peringkat ihsan.
dikutip daripada laman blog - http://malakian.blogsome.com/2006/09/07/kesucian-dan-kebenaran-tasawwuf/#more-77

Isnin, April 06, 2009


BIOGRAFI SYEIKH IMAM ISHAK BIN MUHAMAD ARIF AL-KHALIDI AN-NAQSYABANDI AR-RAWI 

Nasab Keturunan 

Dilahirkan di Kg Chemor, Ipoh, Perak pada 1908 Masehi bersamaan 1234 Hijrah. Bapanya bernama Muhamad Arif bin Tujuan Saka. Ibunya pula bernama Hindun @ Nujmah binti Tengku Nahmad.

Bapa Tujuan Saka bernama Merah Laut Silingkar Alam @ Limbang Laut. Ibu Merah Laut Selingkar Alam @ Limbang Laut adalah anak kepada Merah Mas (Tengku Muda Tanjung Alai, Padang Unang). Nama isteri Tujuan Saka ialah Siti Umai.

Manakala, bapa Hindun @ Nujmah ialah Tengku Nahmad, berketurunan suku kaum Siak di Kuantan. Nama ibu Hindun @ Nujmah pula ialah Maryam, orang Kg Teluk Pulai, Kelang, Selangor.

Dewasa Di Pahang 

Bersama adik-beradiknya seramai 6 orang, beliau telah berhijrah dari Perak ke Kg Temau, Raub, Pahang pada sekitar tahun 1915. Disinilah beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Dong.

Setelah tamat sekolah Melayu, beliau telah mendalami pelbagai ilmu agama dari ramai ulama’ tersohor. Dan atas kefaqihan (kearifan) beliau dalam ilmu agama, maka Almarhum Sultan Abu Bakar (Pahang) telah memberi tauliah imam kepada beliau di Masjid Kariah Lechar, Raub, Pahang pada tahun 1932. Maka tak hairanlah, beliau lebih dikenali dengan nama Imam Ishak. 

Beliau telah berkahwin dengan Rabiah bt Ludin, orang Kg Bukit Kemuning, Raub. Setelah isterinya kembali ke rahmatullah pada tahun 1976 kerana sakit tua, maka beliau telah berkahwin pula dengan Fatimah binti Mat Yasin, orang Kg Ulu Gali, Raub, Pahang. Kedua-dua perkahwinan tidak dikurniakan sebarang zuriat, namun beliau mempunyai ramai anak angkat.

Kefaqihan Dalam Bidang Agama 

Beliau berimamkan Syeikh Abu Hasan al-Asy`ari dan Syeikh Abu Mansur al-Maturidi dalam bidang usuluddin/tauhid (IMAN). Manakala dalam bidang feqah/syariat (ISLAM) pula, beliau berpandukan kepada Mazhab Imam Yang Empat. Sementara dalam bidang tasauf (IKHSAN), beliau berimamkan kepada Syeikh Junaid al-Baghdadi.

”Sesiapa yang hanya bertasauf tanpa feqah, maka zindik lah akan dia. Sesiapa yang hanya berfeqah tanpa tasauf, maka fasiq lah akan dia. Maka, sesiapa yang menghimpunkan kedua-duanya; maka sesungguhnya tahkik lah akan dia”.[1]

Beliau berguru dengan ramai ulama’ dan masyaeikh yang tahkik dalam bidang ilmu masing-masing. Antara yang tersohor ialah Tuan Syeikh Kasyfal Anwar, seorang ulama’ berketurunan Syed dari Kalimantan, Indonesia yang amat arif dalam kitab-kitab arab tua dan ilmu alat (Nahu, Saraf, Bayan, Mantiq, Balaghah, Badi’ dan sebagainya). Maka tidak hairanlah, beliau telah mengarang banyak kalam puitis yang amat mengagumkan.

Dalam bidang tafsir al-Quran, beliau berpegang kepada Kitab Tafsir Ibn Abbas (Tanwirul Miqbas), Kitab Lathaif al-Isyarat karangan Syeikh Abu Qasim Abdul Karim Ibn Hawazan al-Qusyairi, Kitab Tafsir Imam Fakhru ar-Radzi, Kitab Tafsir Ibn Kathir dan sebagainya

Dalam bidang hadith, beliau merujuk kepada Kitab Sahih al-Bukhari, Kitab Sahih Muslim, Kitab Fathu al-Bari karangan Imam Ahmad bin Ali bin Hajar al-‘Asqolani, Kitab Bahrul Mazi karangan Dr. Muhammad bin Abdul Rauf al-Marbawi dan sebagainya.

Manakala, kitab-kitab usuluddin/tauhid yang menjadi rujukan beliau ialah Kitab ’Aqidah an-Najin karangan Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, Kitab Matan Jauharah at-Tauhid karangan Imam Syeikh Ibrahim al-Liqani, Kitab ad-Darr as-Samin karangan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan sebagainya.

Dalam bidang feqah/syariat, beliau telah berguru dengan seorang ulama’ Batu Pahat, Johor yang bernama Tuan Syeikh Muhammad Salih b Syeikh Hj Umar. Kitab-kitab yang menjadi rujukan beliau adalah Kitab Sabilal Muhtadin karangan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Kitab Furu’ al-Masail karangan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Kitab al-Iqna’ karangan Syeikh Abi Sujak dan sebagainya.

Kitab-kitab tasauf yang menjadi sandaran beliau ialah Kitab ar-Riayat Lihuquq Allah karangan Syeikh Abu Abdullah al-Harith ibn Asad al-Muhasabi, Kitab Kasyf al-Mahjub karangan Syeikh Abu Hasan Ali Ibn Osman Ibn Ali al-Jalabi, Kitab ar-Risalat al-Qusyairiyah oleh Syeikh Abu Qasim Abdul Karim Ibn Hawazan al-Qusyairi dan sebagainya.

“Kemudian sukalah (Rasulullah saw) kepada al-Khola’ yang bermaksud bertekun atau bersungguh-sungguh bersemadi seorang diri”. Perkataan al-Khola’ di dalam lafaz hadith ini ialah al-Khalwat yang mempunyai makna tersembunyi, iaitu bersungguh-sungguh mengosongkan hati selain berhadap kepada al-Khaliq semata-mata.[2] 

Berpegang teguh kepada kata-kata Amirul Mukminin al-Hadith sepertimana di atas, maka beliau pada usia semuda 18 tahun, telah menjalani amalan suluk (khalwat) yang pertama di Kg Kubu, Durian Sebatang, Raub, Pahang selama 40 hari di bawah pimpinan Tuan Syeikh Hj Umar bin Hj Muhammad dari Batu Pahat, Johor seorang ulama’ tersohor dalam Tareqat Naqsybandiah Khalidiah.

Beliau kemudian telah diberi ijazah oleh gurunya untuk mengajar dan mengembangkan ilmu tasauf/tareqat ini; di samping memimpin amalan suluk di Kg Jeram Bangkin, Dong, Raub, Pahang. 

`Tiap-tiap syariat yang tidak dikuatkan dengan hakikat, maka ia tidak diterima. Dan setiap hakikat yang tidak dikuatkan dengan syariat, maka sia-sia’[3]

Sepanjang 18 tahun menjadi khadam Tareqat Naqsyabandiah Khalidiah; beliau telah menganjurkan 120 amalan bersuluk di Surau Ehyaul Qulub, Kg Jeram Bangkin, Dong, Raub, Pahang; di samping menghasilkan banyak tulisan yang berkaitan dengan amalan tareqat. Khalifah yang diangkat di zaman hayatnya ialah seramai 350 orang. 


Kembali ke Rahmatullah 

Beliau telah kembali ke rahmatullah pada malam Sabtu, 21 Februari 1992 bersamaan 18 Sya’ban 1412 Hijrah. Beliau telah dimakamkan di Kg Bukit Kemuning, Dong, Raub, Pahang.


________________________________________
[1] Kata-kata Imam Malik ra yang dipetik daripada Kitab Ain Al-Ilmu Wa Zain Al-Hilm karangan oleh Al-Imam Ali Al-Qari (Vol. I), Hlmn. 33.
[2] Dipetik daripada Kitab Fathu al-Bari Syarah Sahih Al-Bukhari karangan Amirul Mukminin Hadith, Al-Imam Ahmad bin Ali bin Hajar Al-‘Asqolani Asy-Syafii (772H–852H), (Vol. 1), Hlmn. 22-23. Inilah asal khalwat yang disebut orang zaman sekarang ini sebagai suluk.
[3] Dipetik daripada Kitab Risalah al-Qusyairiyah karangan Al-Imam Al-’Alim Abu Qasim Abdul Karim bin Hawazan Al-Qusyairy, Hlmn. 43


Imam Ishak Rawa perintis dokumentasi ulama Rawa

Imam Ishak Rawa Perintis Dokumentasi Ulama Rawa 
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


DUA Isnin berturut-turut yang lalu telah diperkenalkan dua tokoh ulama yang berasal dari Rao atau Rawa. Artikel ini pula adalah rangkaian yang tersebut dan merupakan bicara lanjut yang dibincangkan dalam Majlis Muzakarah Ahlus Sunah wal Jamaah di Raub, Pahang pada 18 Mac 2007 M/28 Safar 1428 H lalu.

Tokoh yang diperkenalkan ialah seorang yang gigih menyebarkan Tarekat Naqsyabandiyah Khalidiyah. Nama lengkap beliau mengikut salasilah ayahnya ialah Tuan Guru Imam Tengku Haji Ishak bin Tengku Muhammad Arif bin Tengku Tan Joleng Tujuan Saka Mas bin Tengku Merah Laut Silingkar Alam @ Limbang Laut keluarga Yang Dipertuan Muda Tanjung Alai, Mapat Tunggal, Rao, Sumatera Barat.

Sungguhpun masih banyak persoalan yang masih belum jelas, namun berdasarkan surat Zaffuan bin Haji Manap ar-Rawi al-Qadiriah kepada Pengkaji bertarikh 17 Ramadan 1427 H/20 Oktober 2006 M, keluarga tersebut ada pertalian dengan Syeikh Muhammad Murid Rawa.

Kata Zaffuan, “Keluarga Syeikh Murid ini juga mempunyai pertalian dengan keluarga Merah Mas, Yang Dipertuan Muda Tanjung Alai, Rao tetapi sayangnya peraturan sebenar masih belum dapat dihuraikan hingga kini.”

Saya simpulkan saja bahawa Imam Tengku Haji Ishak salah seorang daripada keluarga Rao atau Rawa dan besar baktinya mendokumenkan keluarga itu terutama di Malaysia.

Menurut surat Zaffuan itu lagi, “Punca utama manuskrip keluarga beliau (maksudnya keluarga Syeikh Muhammad Shalih Rawa, bererti juga semua keluarga) di Pahang ini pada asalnya adalah atas usaha orang tua kami yang dihormati lagi dimuliakan iaitu almarhum Tuan Guru Imam Haji Ishak bin Muhammad Arif al-Khalidi an- Naqsyabandi (1908-1992).”

Ibu Imam Haji Ishak bernama Hindun @ Nujmah binti Tengku Mahmud (keturunan Siak). Ibu Hindun @ Nujmah ialah Maryam berasal dari Kampung Teluk Pulai, Klang, Selangor. Imam Haji Ishak dilahirkan di Kampung Chemor, Ipoh, Perak pada tahun 1908 dan meninggal dunia tahun 1992.

Beliau menerima Tarekat Naqsyabandiyah daripada Syeikh Umar bin Haji Muhammad al-Khalidi an-Naqsyabandi (wafat tahun 1936) di Batu Pahat, Johor.

Guru Syeikh Umar pula ialah Syeikh Abdul Wahhab Rokan (lahir 1811, wafat tahun 1926). Menurut surat Zaffuan lagi: “Beliau adalah seorang guru agama dan pemimpin Tarekat Naqsyabandiyah yang terkenal di seluruh mukim Dong, Raub malah muridnya juga ramai yang datang dari luar Pahang.”

Dari perkataan “Beliau adalah seorang guru agama dan pemimpin Tarekat Naqsyabandiyah ..." perlu diberi ulasan bahawa perkara khilafiah (pertikaian pendapat) dalam Islam sangat banyak, termasuklah ada golongan yang menerima tarekat dan ada pula yang menolaknya. Bahkan lebih jauh daripada itu ada pihak-pihak tertentu yang membidaah dan mengkhurafatkannya.

Dalam segala persoalan dari dulu hingga sekarang, ada saja orang yang tidak pasti tentang sesuatu perkara selalu menyalahkan apa yang dia tidak tahu. Oleh itu pada pandangan saya, tidaklah bijaksana dan tidak adil seseorang itu menyalahkan pendapat orang lain sedangkan dia tidak mempelajari pendapat itu secara saksama, teliti dan mendalam kepada ahlinya. Demikian halnya dengan tarekat dalam tasauf telah berada dalam Islam sejak lama dan telah diamalkan oleh ramai ulama.

Selagi ramai ulama yang mengamalkannya dan terdapat hujah-hujah dalam kitab-kitab mereka, walaupun ada golongan yang menyalahkannya kita tidak patut mempertahankan pendapat atau pandangan sendiri. Apabila kita hidup bermasyarakat, tetapi hanya bertahan kepada pendapat atau pandangan sendiri, tidak menerima pendapat atau pandangan orang lain, boleh mengakibatkan keresahan masyarakat, kehidupan selalu tidak harmoni.

Oleh itu seseorang guru agama seperti Imam Haji Ishak yang mengamalkan tarekat seperti yang diriwayatkan ini, tidak perlu kita pertikaikan kerana sepanjang hayatnya mempunyai murid yang ramai dan diterima oleh masyarakat. Bagi saya, siapa saja mempunyai pendapat dan pandangan yang tidak menyalahi Islam marilah berjuang sehingga nyata kebajikan demi kepentingan umat.

Pendidikan

Setelah tamat sekolah Melayu (di Sekolah Melayu Dong, Raub) beliau mendalami ilmu agama secara khusus. Di antara guru-gurunya termasuklah dua orang ulama berikut iaitu Tuan Syeikh Kasyful Anwar (berasal dari Kalimantan). Beliau adalah seorang yang sangat alim dalam ilmu alat (nahu, sharaf, bayan, mantik, balaghah, badi’ dan sebagainya).

Tentang fiqh pula, Tuan Imam Haji Ishak belajar dengan Tuan Syeikh Muhammad Shalih bin Syeikh Haji Umar, ulama yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Di antara kitab-kitab yang dipelajari oleh Tuan Imam Haji Ishak ialah kitab-kitab tentang akidah Matn Jauharah at-Tauhid, Durr ats-Tsamin oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Akidah an-Najin oleh Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani. Dari tiga buah kitab ilmu akidah atau tauhid yang tersebut, dapat disimpulkan bahawa Tuan Imam Haji Ishak telah mempelajari ilmu yang sangat asas itu, sebuah matan dalam bahasa Arab (Matn Jauharah at-Tauhid) dan dua syarah dalam bahasa Melayu (Durr ats-Tsamin dan Akidah an-Najin).

Menurut tradisi pengajian Islam dunia Melayu zaman silam tidak terhenti setakat itu saja, biasanya untuk membolehkan seseorang itu bergelar alim dalam akidah Ahli Sunah wal Jamaah dan berkelayakan mengajar, mereka meneruskan pengajian kepada kitab-kitab dalam bahasa Arab peringkat syarah dan hasyiyah yang tinggi-tinggi serta banyak melakukan pengtelahan.

Tentang fikah ialah Sabil al-Muhtadin oleh Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Furu’ al-Masail oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan al-Iqna’ kitab dalam Mazhab Syafie dalam bahasa Arab. Jika kita perhatikan tiga kitab yang tersenarai juga sebuah kitab dalam bahasa Arab (al-Iqna’) dan dua buah dalam bahasa Melayu (Sabil al-Muhtadin dan Furu’ al-Masail).

Kitab al-Iqna’ bukanlah sebuah kitab yang mendalam tetapi peringkat pertengahan sahaja. Namun ia dianggap memadai kerana termasuk dalam golongan kitab bercorak syarah bukan matan. Kitab Sabil al-Muhtadin kitab Melayu/Jawi yang cukup popular dalam pengajian Islam tradisional di seluruh dunia Melayu.

Dalam pengertian bahagian ibadat kitab Sabil al-Muhtadin termasuk kitab fiqh Syafieyah yang lengkap. Ada pun kitab Furu’ al-Masail juga dalam bahasa Melayu. Kitab ini membicarakan perkara yang furuk-furuk (cabang-cabang atau bahagian yang halus-halus). Hanya dua saja kitab Melayu/Jawi seperti demikian. Sebuah lagi ialah Kasyf al-Litsam karya Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani.

Sungguh pun Tuan Imam Haji Ishak bukan dikenali sebagai seorang faqih (pakar fikah) tetapi beliau memahami banyak hal dalam fikah. Tambahan pula, beliau lebih banyak menceburi bidang Tarekat Naqsyabandiyah Khalidiyah tidaklah dapat dianggap beliau tidak memahami syariat. Memanglah sangat berbahaya apabila ada seseorang guru tarekat apabila tidak memahami syariat dan ilmu-ilmu yang lainnya.

Daripada sekian ramai penyebar Tarekat Naqsyabandiyah Khalidiyah di dunia Melayu seumpama Syeikh Ismail bin Abdullah al-Minankabawi, Syeikh Abdul Wahhab Rokan yang turun kepada Tuan Imam Haji Ishak, dan lain-lain yang faham syariat akhir-akhir ini, memang ada orang tertentu yang tidak faham syariat mengaku dirinya sebagai seorang Syeikh Mursyid.

Seseorang yang jahil tentang syariat adalah ditolak atau tidak diakui oleh ulama tasauf sendiri, apatah lagi ulama-ulama golongan lainnya.

Tentang tasauf ialah ar-Riayah li Huquqillah, Kasyf al-Mahjub, ar-Risalah al-Qusyairiyah. Semua kitab yang tersebut adalah dalam bahasa Arab. Hal yang tersebut bukan bererti Tuan Imam Haji Ishak tidak mengenali atau tidak mempelajari kitab-kitab tasauf bahasa Melayu kerana kitab-kitab tasauf pada zamannya masih muda masih banyak diajarkan oleh para ulama kita.

Di antara kitab tasauf bahasa Melayu yang pasti diketahui oleh Tuan Imam Haji Ishak ialah Hidayah as-Salikin dan Siyar as-Salikin. Kedua-duanya karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Kitab Syarh Hikam yang berasal daripada karya Syeikh ‘Atha’ al-Askandari, Ad-Durr An-Nafis oleh Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dan lain-lain.

Di antara kitab tasauf Melayu yang sangat erat hubungannya dengan Tarekat Naqsyabandiyah Khalidiyah (tarekat yang diamal oleh Tuan Imam Haji Ishak) ialah Ar-Rahmah al-Habithah fi Ism az-Zat wa ar-Rabithah karya Syeikh Ismail bin Abdullah Naqsyabandi Khalidi al-Minankabawi.

Tentang hadis ialah Bahr al-Mazi oleh Syeikh Idris al-Marbawi, Shahih al-Bukhari, Shahih Muslim, Fath al-Bari. Dalam empat judul kitab hadis yang disenaraikan ini hanya satu judul saja yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu (Bahr al-Mazi). Tiga judul lagi adalah dalam bahasa Arab (Shahih al-Bukhari, Shahih Muslim, Fath al-Bari). Daripada senarai tersebut ternyata Tuan Imam Haji Ishak juga belajar hadis.

Kitab-kitab dipelajari oleh Tuan Imam Haji Ishak seperti tersenarai di atas sudah cukup membuktikan bahawa beliau menguasai ilmu-ilmu Islam. Saya yakin bahawa beliau seorang yang rajin membaca. Hal ini kerana saya berkenalan dengan beliau tahun 1990 di mana beliau membawa dan menunjukkan sebuah kitab karya Syeikh Ahmad al-Fathani yang saya usahakan judul Shufi dan Wali Allah diterbitkan oleh Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Kelantan.

Setelah beliau tahu saya tinggal di Kuala Lumpur, beliau datang ke rumah saya. Kitab tersebut dijadikan perantara perkenalan. Saya cukup kagum dengan Tuan Imam Haji Ishak kerana pada ketika itu beliau telah mempunyai murid yang ramai dan namanya cukup terkenal dalam lingkungan jemaah Tarekat Naqsyabandiyah Khalidiyah yang beliau pimpin. Namun beliau datang ke rumah saya yang jauh lebih muda daripadanya dan tidak masyhur pula.

Saya berkesimpulan Tuan Imam Haji Ishak adalah seorang warak dan zuhud yang tidak membesarkan diri. Sifat-sifat demikian adalah mengikuti jejak langkah para ulama sufi.

Sumbangan

Pada 1932 Tuan Imam Haji Ishak telah diberi tauliah imam oleh Sultan Abu Bakar (Sultan Pahang). Dalam usia 24 tahun, Tuan Imam Haji Ishak telah diberi kepercayaan menjadi imam di Masjid Lechar, Raub, Pahang Darul Makmur. Berbekalkan ilmu-ilmu keislaman yang dipelajarinya dari para ulama yang dipercayai, Tuan Imam Haji Ishak berjaya menyatupadukan penduduk di kampungnya.

Di samping itu, memimpin mereka berpandukan tuntutan Alus Sunah wal Jamaah.

Tuan Imam Haji Ishak juga adalah pengasas Surau Ihyaul Qulub yang pada mulanya dikenali dengan nama Surau Daerah Kampung Bangkin, Mukim Gali, Raub.

Nama Surau Ihyaul Qulub dimasyhurkan sewaktu sambutan Jubli Emas surau tersebut pada Oktober tahun 1990. Selain jasa serta sebahagian daripada sumbangan Tuan Imam Haji Ishak yang dapat dicatatkan, rasanya tidak dapat tidak jasanya sebagai penyusun salasilah keturunan Rao perlulah diakui. Walaupun masih banyak pertikaian pendapat serta beberapa perkara yang masih belum jelas, namun jasa Tuan Imam Haji Ishak sebagai perintis masyarakat keturunan Rao khususnya di Malaysia amat besar.

Mudah-mudahan jejak langkah beliau akan disusuli dengan bersungguh-sungguh oleh beberapa orang keturunan Rao atau Rawa yang datang kemudian.


Jumaat, April 03, 2009

SEMINAR PENGHAYATAN ISLAM

SEMINAR PEMBENTUKAN AKHLAK / TASAWWUF 2008 
Anjuran: Persatuan Ikhwan Al-Khidmah Selangor (AL-KHIDMAH)
Dengan Kerjasama: Persatuan Imam, Pegawai Masjid & Penolong Pendaftar Nikah (PIMPINAN) Negeri Selangor
Tarikh: 14hb Jun 2008 (Sabtu) 
Masa: 8.30 am hingga 3.30 pmTempat: Dewan CIAST, Seksyen 19, 40900 Shah Alam, Selangor 
Pendaftaran: PERCUMA dan TERBUKA 

Sahibus Samahah Dato Hj Murtadza, Mufti Negeri Sembilan DK 
Shaikh Dr Hj Jahid bin Hj Sidek, Mantan Pensyarah APIUM dan Shaikh Tariqah Naqshabandiah Khalidiah dan lain-lain lagi




TALK SHOW PERUBATAN ISLAM DI USIM

TALKSHOW PERUBATAN ISLAM
Oleh Yang DiKasihi Tuan Guru Dr Hj Jahid bin Hj Sidek al-Khalidi
Yang DiPertua Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia (BUDI)
Pengasas & Pakar Pusat Rawatan Islam MANARA (PRIM)
Tarikh: 01hb April, 2009 (Rabu)
Masa : 2.30 pm - 5.00 pm
Tempat: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)




Khamis, April 02, 2009

MANAQIB RINGKAS SHEIKH ABDUL WAHAB ROKAN BABUSSALAM MEDAN SUMATERA


SHEIKH ABDUL WAHAB ROKAN PERINTIS TARIKAT DI LANGKAT

Syeikh Abdul Wahhab Rokan - Mursyid tarekat yang berwibawa
BABUSSALAM, Langkat, Sumatera Timur adalah merupakan pusat penyebaran Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah yang terbesar di Sumatera sesudah aktiviti Syeikh Ismail bin Abdullah al-Minankabawi. Mursyid Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah di Babussalam tersebut pada satu ketika sangat terkenal hingga ke Semenanjung Tanah Melayu terutama Johor dan Singapura.

Namanya ketika kecil "Abul Qasim'', digelar juga dengan "Faqih Muhammad''. Nama lengkap Syeikh Abdul Wahhab bin Abdul Manaf bin Muhammad Yasin bin Maulana Tuanku Haji Abdullah Tembusai. Lahir 10 Rabiulakhir 1242 H/11 November 1826 M). Wafat di Babussalam, Langkat, pada hari Jumaat, 21 Jamadilawal 1345 H/26 Disember 1926 M. Moyangnya Maulana Tuanku Haji Abdullah Tembusai adalah seorang ulama besar dan golongan raja-raja yang sangat berpengaruh pada zamannya.

PENDIDIKAN

Selain pendidikan dari lingkungan keluarga sendiri Abdul Wahhab belajar kepada Tuan Guru Haji Abdul Halim di Tembusai. Dalam 1846 M - 1848 M Abdul Wahhab merantau ke Semenanjung, pernah tinggal di Johor dan Melaka. Dalam tempoh lebih kurang dua tahun itu digunakannya kesempatan mengajar dan belajar. Di antara gurunya ketika berada di Malaya (Malaysia Barat) ialah Tuan Guru Syeikh Muhammad Yusuf seorang ulama yang berasal dari Minangkabau. Masih dalam tahun 1848 itu juga Abdul Wahhab meneruskan pengembaraannya menuju ke Mekah dan belajar di sana hingga tahun 1854 M. Di antara gurunya sewaktu di Mekah ialah Syeikh Muhammad Yunus bin Syeikh Abdur Rahman Batu Bara, Asahan, dan lain-lain. Pelajaran tasawuf khusus mengenai Thariqat Naqsyabandiyah Abdul Wahhab dididik oleh seorang ulama besar yang cukup terkenal, beliau ialah Syeikh Sulaiman Zuhdi di Jabal Abi Qubis, Mekah.

PULANG DAN AKTIVITI

Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan pulang ke tanah air dalam tahun 1854 M dan dalam tahun itu juga mengajar di Tanjung Mesjid, daerah Kubu Bagan Siapi-api, Riau. Dalam tahun 1856 M beliau juga mengajar di Sungai Mesjid, daerah Dumai, Riau. Selanjutnya mengajar di Kualuh, wilayah Labuhan Batu tahun 1860 M. Mengajar di Tanjung Pura, Langkat tahun 1865 M. Mengajar di Gebang tahun 1882 M, dan dalam tahun itu juga berpindah ke Babussalam, Padang Tualang, Langkat. Di Babussalamlah dijadikan sebagai pusat seluruh aktiviti, sebagai pusat tarbiyah zhahiriyah, tarbiyah ruhaniyah dan dakwah membina umat semata-mata mengabdi kepada Allah s.w.t.

Sungguh pun demikian Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan tidak mengabaikan perjuangan duniawi kerana beliau bersama-sama dengan Sultan Zainal Abidin, Sultan Kerajaan Rokan dan Haji Abdul Muthallib, Mufti Kerajaan Rokan pernah mengasaskan "Persatuan Rokan''. "Persatuan Rokan'' bertujuan secara umumnya adalah untuk kemaslahatan dan kebajikan Rokan. Walau bagaimana pun tujuan utamanya adalah perjuangan kemerdekaan untuk melepaskan Kerajaan Rokan dari penjajahan Belanda. Pembahagian kerja "Persatuan Rokan'' ialah Sultan Zainal Abidin sebagai pelaksana segala urusan luar negeri. Haji Abdul Muthallib menjalankan pekerjaan-pekerjaan dalam negeri dan Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab sebagai menerapkan pendidikan memberi semangat pada masyarakat.

PERKAMPUNGAN BABUSSALAM

Dalam tarikh 12 Syawal 1300 H/12 Ogos 1883 M Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan bersama 160 orang pengikutnya dengan menggunakan 13 buah perahu memudiki Sungai Serangan menuju perkampungan peribadatan dengan undang-undang atau peraturannya tersendiri yang dinamakan Babussalam. Pendidikan mengenai keislaman diterapkan setiap hari dan malam, sembahyang berjemaah tidak sekali-kali diabaikan. Tilawah al-Quran, selawat, zikir, terutama zikir menurut kaedah Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah dan lain-lain sejenisnya semuanya dikerjakan dengan teratur di bawah bimbingan "Syeikh Mursyid'' dan "khalifah-khalifah''nya. "Syeikh Mursyid'' adalah Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan sendiri. "Khalifah'' ada beberapa orang, pada satu ketika di antara "khalifah'' terdapat salah seorang yang berasal dari Kelantan. Beliau ialah khalifah Haji Abdul Hamid, yang masih ada kaitan kekeluargaan dengan Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani.

Pada tahun 1342 H/1923 M Asisten Residen Belanda bersama Sultan Langkat menyematkan "Bintang Emas'' untuk Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan. Wakil pemerintah Belanda menyampaikan pidatonya pada upacara penyematan bintang itu, "Adalah Tuan Syeikh seorang yang banyak jasa mengajar agama Islam dan mempunyai murid yang banyak di Sumatera dan Semenanjung dan lainnya, dari itu kerajaan Belanda menghadiahkan sebuah "Bintang Emas'' kepada Tuan Syeikh. Seorang sufi sebagai Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan penyematan bintang seperti itu bukanlah merupakan kebanggaan baginya, mungkin sebaliknya bahawa bisa saja ada maksud-maksud tertentu daripada pihak penjajah Belanda untuk memperalatkan beliau untuk kepentingan kaum penjajah yang sangat licik itu. Oleh itu, dengan tegas Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan berkata ketika itu juga, "Jika saya dipandang seorang yang banyak jasa, maka sampaikanlah pesan (amanah) saya kepada Raja Belanda supaya ia masuk Islam.''

KARYA

Tidak banyak diketahui hasil penulisan Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan. Setakat ini yang dapat dikesan ialah:

1. Munajat, merupakan kumpulan puji-pujian dan pelbagai doa.

2. Syair Burung Garuda, merupakan pendidikan dan bimbingan remaja .

3. Wasiat, merupakan pelajaran adab murid terhadap guru, akhlak, dan 41 jenis wasiat.
"...........semuanya masih perlu perbahasan atau pentafsiran yang panjang. Kerana jika tidak .............. orang-orang ................ akan beranggapan bahawa wasiat beliau itu sebagai penghalang terhadap kemajuan dunia moden....."
Petikan 41 wasiat yang dimaksudkan beliau antaranya; Wasiat yang pertama, "Hendaklah kamu sekalian masyghul dengan menuntut ilmu Quran dan kitab kepada guru-guru yang mursyid. Dan hinakan diri kamu kepada guru kamu dan perbuat apa-apa yang disuruhnya. Jangan bertangguh. Dan banyak-banyak bersedekah kepadanya. Dan seolah-olah diri kamu itu hambanya. Dan jika sudah dapat ilmu itu maka hendaklah kamu ajarkan kepada anak cucu, kemudian kepada orang lain. Dan kasih sayang kamu akan muridmu seperti kasih sayang akan cucu kamu. Dan jangan kamu minta upah dan makan gaji sebab mengajar itu, tetapi minta upah dan gaji itu kepada Tuhan Esa lagi Kaya Murah, iaitu Allah Ta'ala.''

Wasiat yang kedua, "Apabila kamu sudah baligh hendaklah menerima Thariqat Syaziliyah atau Thariqat Naqsyabandiyah supaya sejalan kamu dengan aku. "Wasiat yang kedua ini jelas bahawa Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan sangat menekankan amalan tarekat. Mengenai ini juga ada hujah-hujah yang kuat di kalangan penganut-penganut sufi, walau pun ada golongan yang tidak sependapat dengan yang demikian itu. Pada pandangan saya mempertikaikannya adalah merupakan pekerjaan yang sia-sia, kerana bermujadalah adalah termasuk salah satu sifat mazmumah (dicela) oleh syarak Islam.

Wasiat yang ketiga, "Jangan kamu berniaga - maksudnya jika terdapat penipuan atau pun riba. Jika hendak mencari nafkah hendaklah dengan tulang empat kerat seperti berhuma dan berladang dan menjadi amil (orang yang bekerja, pen:). Dan di dalam mencari nafkah itu hendaklah bersedekah tiap-tiap hari supaya segera dapat nafkah. Dan jika dapat ringgit sepuluh, maka hendaklah sedekahkan satu dan taruh sembilan. Dan jika dapat dua puluh, sedekahkan dua. Dan jika dapat seratus, sedekahkan sepuluh dan taruh sembilan puluh. Dan apabila cukup nafkah kira-kira setahun maka hendaklah berhenti mencari itu dan duduk beramal ibadat hingga tinggal nafkah kira-kira empat puluh hari maka boleh mencari.''

Wasiat yang keempat, "Maka hendaklah kamu berbanyak-banyak sedekah sebilang hari istimewa pada malam Jumaat dan harinya. Dan sekurang-kurang sedekah itu empat puluh duit pada tiap-tiap hari. Dan lagi hendaklah bersedekah ke Mekah pada tiap-tiap tahun.''

Wasiat yang kelima, "Jangan kamu bersahabat dengan orang yang jahil dan orang fasik. Dan jangan bersahabat dengan orang kaya yang bakhil. Tetapi bersahabatlah kamu dengan orang alim-alim dan ulama-ulama dan salih-salih.''

Wasiat yang keenam, "Jangan kamu hendak kemegahan dunia dan kebesarannya seperti hendak menjadi kadi, imam dan lain-lainnya istimewa pula hendak jadi penghulu-penghulu dan lagi jangan hendak menuntut harta benda banyak-banyak. Dan jangan dibanyakkan memakai pakaian yang halus.''

Wasiat yang ketujuh, "Jangan kamu menuntut ilmu sihir seperti kuat, dan kebal dan pemanis serta lainnya kerana sekalian ilmu telah ada di dalam al-Quran dan kitab.''

Wasiat yang kelapan, "Hendaklah kamu kuat menghinakan diri kepada orang Islam, dan jangan dengki khianat kepada mereka itu. Dan jangan diambil harta mereka itu melainkan dengan izin syarak.''

Demikianlah 8 wasiat yang dipetik dari 41 wasiat Syeikh Abdul Wahhab Rokan, semuanya masih perlu perbahasan atau pentafsiran yang panjang. Kerana jika tidak ditafsirkan kemungkinan orang-orang yang berada di luar lingkungan sufi akan beranggapan bahawa wasiat beliau itu sebagai penghalang terhadap kemajuan dunia moden. Sebelum anda sempat mengikuti pentafsirannya, saya berpendapat bahawa jalan menuju takwa kepada Allah sekali-kali adalah tidak menghalang kemajuan dunia moden jika kemajuan itu tidak bertentangan dengan perintah Allah dan Rasul-Nya.

MURID

Murid Syeikh Abdul Wahhab Rokan sangat ramai: Di antara muridnya yang dianggap mursyid dan khalifah dan yang sangat giat menyebarkan Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah di Batu Pahat, Johor ialah Syeikh Umar bin Haji Muhammad al-Khalidi. Muridnya yang lain ialah Syeikh Muhammad Nur Sumatera. Murid Syeikh Muhammad Nur Sumatera ialah Haji Yahya Laksamana al-Khalidi an-Naqsyabandi, Rambah, Sumatera. Beliau ini adalah penyusun buku berjudul Risalah Thariqat Naqsyabandiyah Jalan Ma'rifah, cetakan pertama tahun 1976 di Malaysia, diterbitkan oleh pengarangnya sendiri.

Artikel Almarhoum Syeikh W.Md Saghir 04/04/2005 (Mari kita hadiahkan fatihah buat al-marhum)

CERAMAH KHAS SEMPENA SEMINAR KHAWAJAKAN 3 TAHUN 2002


Seminar Khawajakan Kali 3 Wirid Dan Syarahan Agama Negeri Johor, Anjuran Bersama Badan Kebajikan Jemaah Khawajakan Johor Dan Pejabat Agama Pontian pada 2002

PERTEMUAN BERSAMA YB DATO' DR HASSAN BIN ALI, EXCO SELANGOR


YBhg Dato' Talhah, Yang DiPertua al-Khidmah Dan Shaikh Dr Hj Jahid bin Hj Sidek al-Khalidi, Yang DiPertua BUDI mengadakan pertemuan bersama YB Dato' Dr Hasan bin Ali, Exco Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Infrastruktur Awam, Selangor membincangkan dan mencadangkan pelbagai isu berhubung kemurnian tasawwuf dan tarekat di Selangor.

ZIARAH ULAMA' DI TURKI TAHUN 2006



Ziarah Ulama' Sufi di Turki Shaikh Mahmud Afandi di Diya Bakir

FORUM DI SIMPOSIUM PENGEMBANG PERSILATAN MELAYU KALI PERTAMA 2001


Shaikh Dr Hj Jahid bin Hj Sidek al-Khalidi, Yang DiPertua BUDI bersama Ustaz Wan Sohor Bani Leman membincangkan topik penting berhubung Persilatan dari Perspektif Islam beberapa tahun yang lalu.

ZIARAH ULAMA' DUNIA DI KAMPALA UGANDA

Jemputan Presiden Muammar Ghadafi melalui Kedutaan Libya kepada seluruh ulama' seluruh dunia di Majlis Maulidur Rasul di Kampala Uganda. Antara lain pembukaan Masjid Muammar Ghadafi di Kampala Uganda dan lawatan serta pertemuan bersama ulama' seluruh dunia.Yang DiPertua BUDI Shaikh Dr Hj Jahid Hj Sidek al-Khalidi bergambar kenangan bersama sebahagian ulama' yang hadir.Sebahagian peserta daripada Malaysia yang dijemput untuk menghadiri Perhimpunan Ulama' di Kampala Uganda

SILA IKLANKAN BANNER INI ALAM CYBER


untuk kuliah Shaikh Dr Hj Jahid bin Hj Sidek al-Khalidi