Ahad, Mei 03, 2009

Mengimbau Seminar Tasawwuf 2007

24 Disember 2007, Seremban – Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan telah berjaya menganjurkan Seminar Tasawwuf Negeri Sembilan pada 12 Zulhijjah bersamaan 22 Disember 2007 lalu. Pada seminar yang bertempat di Allson Klana Resort ini, DYMM Tuanku Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Jaafar Ibni Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman telah berkenan menyampaikan titah perasmian sempena perasmian pembukaan seminar..

Antara tetamu kehormat yang hadir termasuklah YTM Dato' Undang Luak Jelebu, YTM Dato' Undang Luak Johol dan YTM Dato' Undang Luak Rembau. Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, YB Dato' Lilah bin Haji Yasin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato' Haji Norzam bin Mohd Nor juga turut serta menyerikan lagi majlis perasmian seminar ini. Tetamu undangan yang lain termasuklah Yang Berhormat-Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat-Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri, Dato'-Dato' Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri serta Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.

DYMM Tuanku Yang DI-Pertuan Besar turut berkenan melancarkan buku terbitan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri bertajuk Bahjah An-Nufus yang telah ditahqiqkan oleh Y. Bhg Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri.

Tema seminar kali ini ialah "Tarbiyah Ruhiyyah Asas Kesatuan Ummah" yang menekankan aspek penyucian jiwa di kalangan masyarakat hari ini dalam membendung masalah-masalah sosial yang dihadapi dewasa ini. Objektif seminar antara lain ialah untuk mengetengahkan konsep Tarbiyah Ruhiyyah sebagai asas kesejahteraan masyarakat dan kesatuan ummah di samping memperkenalkan kaedah pendidikan jiwa melalui disiplin yang terdapat di dalam amalan tarekat tasawwuf dalam membanteras masalah sosial.

Peserta yang hadir seramai lebih 400 orang telah di sajikan dengan pembentangan ucaptama yang bertajuk " Tarbiyyah Ruhiyyah Asas Kesatuan Ummah" oleh Y.Bhg Prof Dr. Zakaria B. Stapa, Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM. Pembentangan kertas kerja bertajuk " Enakmen Tarekat Tasawwuf : Satu Penjelasan " telah dibentangkan oleh S.F Ustaz Mohd Zaidi bin Ramli iaitu Timbalan Mufti Kerajaan Negeri. Pembentangan disambung oleh Mantan Pensyarah Universiti Malaya, Dr. Jahid bin Hj. Sidek dengan tajuk " Penyakit-penyakit hati : Punca dan Kaedah Rawatan Menurut Prinsip Tasawwuf ”.

Kertas kerja bertajuk " Peranan Penyucian Jiwa Terhadap Pembangunan Insan Dalam Masyarakat Bertamaddun " telah dibentangkan oleh Prof. Madya Dr. Zarrina Binti Saari dari Jabatan Aqidah dan Pemikiran, Universiti Malaya. Pembentangan terakhir telah disampaikan oleh Dr. Abd. Manam bin Mohammad, Pensyarah Universiti Darul Iman dengan kertas kerja bertajuk " Bina Insan Menerusi Kaedah Spiritual : Satu Tinjauan Terhadap Pendekatan Inabah dalam Memulihkan Penagih Dadah dan Menangani Krisis Moral Remaja ".

Seminar yang berakhir pada pukul 5.30 petang ini diharapkan dapat memberi pengetahuan dan panduan kepada para peserta dalam usaha menengani gejala sosial yang melanda masyarakat kini.
http://www.ns.gov.my/mufti/index.php?option=com_content&task=view&id=231&Itemid=2